Program Hari Terbuka Di Pi1M KPHI 2016

16 November 2016 | Berita Terkini

PROGRAM HARI TERBUKA DI PI1M KG. PARIT HAJI IDRIS

Tarikh               :   16 November 2016 (Rabu)

Masa                :   8.30 pagi – 4.30 petang

Pada tarikh 16 November 2016 bersamaan dengan hari Rabu yang lalu, pihak pengurusan PI1M KPHI telah mengadakan Program Hari Terbuka bagi tahun 2016. Antara objektif program ini diadakan adalah bagi menghargai kerjasama serta sokongan yang diberikan oleh pihak Tabika KEMAS, pihak kampung serta ahli-ahli PI1M yang lain. Dengan adanya program ini, kita dapat memupuk semangat keyakinan dan sikap tidak berputus asa dalam diri pelajar tabika menerusi acara sukaneka yang disediakan. Selain itu, program ini juga dapat mengetengahkan fungsi dan peranan PI1M kepada masyarakat sekitar di samping memberikan pendedahan terhadap etika digital (Klik Dengan Bijak). Seterusnya, ianya juga dapat mengeratkan lagi silaturrahim antara masyarakat setempat dengan pihak PI1M.

 

            Program yang diadakan ini terbahagi kepada 2 sesi iaitu sesi pagi dan sesi petang. Pada sesi pagi, kami mengadakan acara sukaneka bersama-sama dengan pelajar Tabika KEMAS, guru dan pembantu serta ibu bapa dan penjaga pelajar. Sekitar jam 8.30 pagi, kami menyambut kedatangan pelajar-pelajar tabika serta guru dan ibu bapa pelajar di PI1M KPHI ini. Ibu bapa dan penjaga diminta untuk berdaftar nama mereka dan anak masing-masing terlebih dahulu bagi memudahkan program ini berlangsung. Para ibu bapa juga boleh memilih acara yang telah disediakan untuk mereka bagi memeriahkan lagi program ini.

 

            Acara sukaneka dimulakan dengan senaman ringan dibawah bimbingan guru tabika KEMAS, Puan Haryana bersama-sama dengan Pengurus PI1M KPHI, Cik Umi Nadia sendiri. Hal ini penting bagi memanaskan badan sebelum acara sukaneka dijalankan. Terdapat 5 buah kumpulan yang telah diaturkan oleh guru tabika. Acara pertama yang dijalankan adalah Baling Bola Dalam Bakul. Para pelajar dikehendaki untuk membaling seberapa banyak bola ke dalam bakul yang disediakan dengan jarak yang telah ditetapkan. Keputusan yang diambil berdasarkan berapa banyak bola yang dapat dimasukkan ke dalam bakul bagi setiap kumpulan.

 

            Bagi acara kedua pula, sukan yang dijalankan adalah Bawa Bola Guna Kon. Pelajar-pelajar ini dikehendaki untuk membawa kon yang diterbalikkan dan diletakkan bola di atasnya dan membawanya kepada ibu bapa pelajar yang sudi menjadi sukarelawan membantu acara ini. Para pelajar perlu membawa kon tersebut dan menyentuh ibu bapa masing-masing kemudian berpatah balik memberikan kon yang dipegangnya kepada rakan sepasukan yang lain. Acara ini berjalan sehinggalah rakan sepasukan yang terakhir menamatkan lariannya. Kumpulan yang menyelesaikan acara ini dengan masa yang paling pantas dikira sebagai pemenang.

 

            Acara yang seterusnya adalah Straw Terpanjang. Setiap kumpulan dibekalkan dengan sejumlah straw oleh guru tabika. Mereka dikehendaki untuk mencantumkan kesemua straw yang diberikan tanpa memutuskannya. Ibu bapa juga turut membantu para pelajar ini menyelesaikan tugas yang diberikan. Masa yang diberikan hanya 1 minit 30 saat sahaja. Bertukus –lumus para pelajar menyambungkan straw yang disediakan agar menjadi panjang. Kemudian, kesemua straw di bawa ke hadapan pengadil untuk melihat kumpulan manakah yang telah menghasilkan straw yang terpanjang dan dikira sebagai pemenang.

 

            Selepas itu, acara yang dijalankan adalah Cari Barang. Setiap kumpulan dibekalkan dengan satu bekas yang dipenuhi dengan barang-barang seperti pensil, guli, pemadam dan sebagainya. Kemudian, mereka diberikan sehelai kertas yang tertera senarai barang yang perlu dicari oleh para pelajar ini. Setiap pelajar dikehendaki untuk mencari satu barang sahaja. Selepas barang itu ditemui, mereka perlu membawa barang tersebut kepada ibu bapa yang menjaga di hujung garisan dan meletakkan barang tersebut di dalam bakul yang disediakan. Kumpulan yang berjaya mencari kesemua barang tersebut dengan masa yang terpantas dikira sebagai pemenang.

 

            Acara yang terakhir adalan Isi Air Dalam botol. Setiap kumpulan dibekalkan dengan sebotol bekas air yang kosong, sebiji span dan satu baldi yang dipenuhi dengan air yang telah diwarnakan. Para pelajar ini hendaklah berlari ke arah baldi yang diletakkan di tengah-tengah garisan, kemudian merendamkan span tersebut dan membawanya kepada botol air yang kosong di hujung garisan. Kemudian berpatah balik dan menyerahkan span tersebut kepada rakan-rakan yang lain sehinggalah masa telah tamat. Kumpulan yang mempunyai jumlah air yang banyak dikira sebagai pemenang bagi acara ini.

 

            Seterusnya adalah acara untuk ibu bapa. Antara acara yang dipertandingkan adalah Baling Bola Dalam Bakul, Mumia dan Makan Paling Laju. Bagi acara yang pertama, peraturan yang ditetapkan sama sebagaimana pelajar tabika melakukannya. Cuma yang jarak yang diberikan agak jauh sedikit berbanding dengan pelajar-pelajar ini. Bagi acara Mumia pula, setiap peserta dibekalkan dengan surat khabar lama, gunting dan soletip. Mereka perlu membalut seorang pelajar di mana anak mereka sendiri seperti ala-ala mumia. Kreativiti dan imaginasi yang tinggi diperlukan dalam acara ini. Setiap balutan hendaklah kemas dan kreatif untuk dinobatkan sebagai juara. Acara yang paling meriah adalah Makan Paling Laju. Setiap ibu bapa diberikan sepotong kek span dan secawan air mineral. Tiada masa yang diperuntukkan untuk mereka. Peserta yang dapat menghabiskan kek tersebut dengan masa yang paling pantas dikira sebagai pemenang.

 

            Seterusnya, upacara penyampaian hadiah kepda para pemenang. Majlis dimulakan dengan ucapan ringkas daripada Ketua Kampung Parit Haji Idris, Penyelia Tabika KEMAS Kampung Parit Haji Idris , guru Tabika KEMAS dan pengurus PI1M. Penyampaian hadiah dimulakan dengan acara sukaneka, diikuti dengan acara ibu bapa seterusnya penyampaian sijil penyertaan kelas ICT 2016 kepada pelajar yang berumur 6 tahun. Jamuan ringan untuk para VIP turut disediakan.

 

            Pada sesi petang pula, pendaftaran peserta bermula pada pukul 2.00 petang. Mereka juga diberikan nombor cabutan bertuah untuk sesi cabutan bertuah nanti. Acara pertama yang dijalankan adalah pertandingan ‘Congkak KDB’. Acara ini terhad kepada 3 pasukan sahaja yang melibatkan peserta yang berumur 11 tahun ke atas. Peserta haruslah menjawab soalan KDB yang diberikan sekiranya guli terakhir mereka di dalam rumah yang telah dilekat kertas KDB. Pelbagai gelagat dan jawapan yang diterima daripada para peserta ini. Pemenang diambil berdasarkan guli yang paling banyak dan menjawab soalan KDB dengan tepat dan betul.

 

            Acara yang kedua adalah pertandingan ‘Susun & Tampal KDB’. Setiap peserta dibekalkan dengan sekeping kertas keras, sebotol gam dan kepingan kertas yang telah digunting. Mereka perlu menampal kepingan kertas yang telah digunting ke atas kertas keras yang diberikan berdasarkan gambar yang telah tertera di komputer. Gambar yang diberikan adalah berlainan bagi setiap peserta. Pemenang dipilih berdasarkan kekemasan menampal dan juga gambar yang betul. Acara cabutan bertuah pula dilakukan dengan selingan pertandingan ini. Selepas semuanya selesai, penyampaian hadiah diberikan kepada para pemenang. Masing-masing pulang dengan hadiah mereka. Program Hari Terbuka PI1M KPHI 2016 ini tamat pada pukul 4.30 petang. Diharapkan program seperti ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang.