Maklumat Tempatan

NAMA DAN SEJARAH KAMPUNG:

KAMPUNG PARIT HAJI IDRIS telah diteroka pada tahun 1919 oleh Haji Wahab dan Haji Idris. Keadaan pada masa itu masih hutan, berair dan selalu berlaku banjir. Setelah diusahakan, kawasan tersebut telah ditanam dengan padi, jagung, ubi, keladi dan lain-lain tanaman kontan

Haji Idris telah dilantik oleh penduduk di situ sebagai ketua kumpulan dan seterusnya dilantik sebagai Ketua Kampung. Setelah Haji Idris meninggal dunia, tempat beliau diganti oleh Rahmat Bin Haji Wahab.

Pada tahun 1935, telah berlaku satu tragedi dan ramai penduduk yang meninggal dunia akibat diserang satu penyakit misteri. Pada masa itu hanya terdapat 30 buah rumah sahaja.
Pada tahun 1940, berlaku satu lagi malapetaka di mana seluruh kampung terbakar dan menjadi padang jarak padang terkukur. Pada tahun 1941, kedatangan Jepun ke Tanah Melayu dan pada ketika itu keadaan amat menyulitkan di mana para penduduk sukar untuk mendapatkan makanan dan mereka hanya menjadikan ubi kayu, jagung, keledek dan sebagainya sebagai makanan harian.
Pada tahun 1948, komunis pula mengambil alih dan orang-orang Melayu menjadi mangsa keganasan mereka. Pada masa itu tiada jalan kampung untuk ke pekan.
Tahun 1957, Tanah Melayu mendapat kemerdekaan dan kehidupan penduduk kampung ini turut berubah.
Tahun 1965, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) ditubuhkan dengan menjadikan Kampung Parit Haji Idris sebagai kampung induk manakala Kampung Parit Jarum, Parit Ghani dan Parit Kassim sebagai kampung rangkaian.
Pada tahun 1966, parit untuk menyalirkan air telah dibina oleh pihak Jabatan Parit dan Taliair (JPT) manakala jalan tanah merah dibina pada tahun 1967.
Sebuah balai raya telah didirikan pada tahun 1968 untuk kegunaan masyarakat kampung berhimpun dan dijadikan kelas Tabika Kemas.
            Sembahyang Jumaat yang pertama mula beroperasi di bangunan Surau Tengah pada tahun 1975 diimamkan oleh Encik Mesral Bin Wasingo manakala bilalnya Encik Hosnan Bin Haji Arshad. Sebelum ini penduduk kampung menunaikan Sembahyang Jumaat di Masjid Jamek Bukit Gambir.
            Pada tahun 1972, bekalan air paip mula disalurkan ke kampung ini manakala bekalan elektrik pada tahun 1976. Penduduk kampung ini amat bertuah kerana seorang dermawan, Tuan haji Idris telah membina sebuah masjid baru bernilai RM100,000.00 bagi menggantikan bangunan surau yang telah uzur pada tahun 1981.
Bagi kemudahan para penduduk kampung mengeluarkan hasil mahsul ke pekan, jalan tanah merah telah diturap tar pada tahun 1987.
Pada tahun 1988, Tuan Haji Rahmat Bin Haji Wahab telah ditamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua kampung atas faktor usia dan kesihatan yang tidak mengizinkan.
Pihak kerajaan telah memberikan mandat kepada Tuan Haji Ismail Bin Haji Sitam sebagai Ketua kampung yang baru mulai tahun 1989.
Pada tahun 1990, Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membina bangunan Rumah Kebajikan Orang Islam Tidak Berwaris dengan peruntukan sebanyak RM15,000.00 yang dibina secara gotong-royong dan telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Haji Abdul Ghani Othman pada tahun 1994.
            Perpaduan dan kesepakatan para penduduk kampung dalam membangunkan kampung telah membawa satu kejayaan di mana pada tahun 1995 telah mendapat Johan dalam Pertandingan JKKK Aktif peringkat Daerah Muar manakala tempat ketiga untuk peringkat negeri Johor.
Pada tahun 1997, jalan kampung ini telah diturap semula di bawah seliaan KPRJ dan telah dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Haji Abdul Ghani Othman.
Pada tahun 2002, balai raya yang telah uzur telah dibina semula dengan bangunan baru di bawah peruntukan Kerajaan negeri bernilai RM100,000.00
Pada tahun yang sama, sebuah bangunan Tabika Kemas telah dibina di atas tanah yang diwakafkan oleh Tuan Haji Mesral Bin Wasingo dengan peruntukan bernilai RM70,000.00. Pada tahun 2006, berlaku rombakan kawasan pentadbiran Ketua kampung di mana Kampung Parit Haji Idris menjadi kampung induk manakala kampung rangkaian di bawahnya ialah kampung Parit Jarum Darat dan Parit Jarum Tengah.                      

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.