PROGRAM CELIK ICT BERSAMA KANAK-KANAK TABIKA KEMAS SIMPANG KUALA

18 July 2017 | Berita Terkini

Program Celik ICT bersama pelajar Tadika Kemas telah diadakan di Tadika Kemas Simpang Kuala, Alor Setar. Program ini merupakan salah satu dari aktiviti siri jelajah tadika di kawasan sekitar Alor Setar. Pusat Internet 1 Malaysia dengan kerjasama KEMAS telah mengambil inisiatif ini bagi mendedahkan kepada para pelajar mengenai kegunaan ICT pada peringkat awal. Program ini juga merupakan anjuran bersama Pusat Internet 1 Malaysia PPR Seberang Terus, Pusat Internet 1 Malaysia PPR Mergong, Pusat Internet 1 Malaysia RP Simpang Kuala dan Pusat Internet 1 Malaysia Kuala Kedah. Objektif program ini secara amnya untuk mempromosi Pusat Internet 1 Malaysia kepada guru dan pelajar Tadika Kemas Simpang Kuala. Program Celik ICT ini adalah usaha Pusat Internet 1 Malaysia bagi memberi info dan pengetahuan mengenai komputer dan ICT seterusnya membentuk komuniti celik ICT.

Program ini dimulakan dengan aktiviti suai kenal dan beramah mesra bersama pelajar tadika. Mereka kemudian diperkenalkan dengan kemudahan dan perkhidmatan yang terdapat di Pusat Internet 1 Malaysia. Pelajar diberi penerangan mengenai komponen komputer beserta fungsi setiap komponen. Setiap pelajar juga diberi peluang untuk menggunakan netbook 1 Malaysia yang disediakan untuk program ini. Pelajar seterusnya diajar menaip menggunakan software Microsoft Word bagi tujuan membiasakan pelajar dengan penggunaan netbook. Mereka turut diperkenalkan dan diajar menggunakan aplikasi MS Paint untuk menghasilkan bentuk dan mewarna.

Program Celik ICT ini diakhiri dengan penyampaian cenderahati kepada pelajar dan guru yang terlibat dalam menjayakan program pada kali ini. Diharapkan program ini dapat memberi manfaat serta ilmu pengetahuan kepada para pelajar dan guru.