SEMINAR MEDIA SOSIAL 2017 PERINGKAT NEGERI KEDAH

08 August 2017 | Berita Terkini

Pada 8 Ogos 2017 (Selasa), bertempat di Dewan Serbaguna Bandar Muadzam Shah, Anak Bukit, telah diadakan satu seminar mengenai media sosial peringkat Negeri Kedah. Seminar yang berlangsung meriah ini dihadiri lebih dari 1000 orang peserta yang terdiri daripada kakitangan dari pelbagai agensi kerajaan dan swasta serta para pelajar dari pusat pengajian tinggi awam di Kedah. Seminar ini merupakan anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Jabatan Penerangan Negeri Kedah (JaPen) bertujuan untuk memberi pendedahan kepada umum mengenai tatacara penggunaan media sosial secara berhemah dan mengenal pasti kaedah yang betul untuk menentukan kesahihan sesuatu maklumat yang tular di media sosial.

Pusat Internet 1 Malaysia (Pi1M) di bawah projek MCMC turut terlibat dalam Seminar Media Sosial 2017 pada kali ini. Peranan Pi1M sebagai pusat perkhidmatan dan perkembangan komuniti dilihat sebagai salah satu medium untuk menyebarkan maklumat berkaitan keselamatan dan etika penggunaan internet atau media sosial dengan betul.

Seminar Media Sosial 2017 dimulakan dengan pendaftaran peserta seawal jam 8 pagi dan seterusnya ucapan aluan, bacaan doa dan tayangan video montaj. Seminar ini telah dirasmikan oleh YB Dato Mohd Tajudin Abdullah, EXCO Kerajaan Negeri Kedah. Selain itu, Encik Aziman bin Hasan, Pengarah Penerangan Negeri Kedah turut hadir sama menjayakan program ini. Forum mengenai Media Sosial ini dikendalikan oleh Encik Azhar Haji Ismail, Penolong Pengarah PKPM Jabatan Penerangan Negeri Kelantan sebagai moderator forum. Panel bagi forum ialah Encik Mohd Luthfi Azzamuddin dari MCMC, Encik Shukri Shuib dari Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Ustaz Muhd Azki Hafizi dari Smart Triple IQ.

Isu yang membabitkan penularan berita palsu dan penyebaran fitnah di media sosial menjadi fokus utama perbincangan forum ini. Media sosial merupakan antara platform penyebaran maklumat yang tidak sahih secara pantas dan sukar dikawal. Oleh itu, kesedaran dari semua pihak amat penting bagi membendung masalah ini. Diharapkan melalui perkongsian yang diberikan pada seminar ini dapat menyedarkan masyarakat tentang tanggungjawab dalam membantu menghentikan penyebaranmaklumat yang tidak betul.