Pendidikan

           Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Malik  (SK Tunku Abdul Malik)

    Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Malik yang ada pada hari ini,  bukanlah nama awal yang diberikan. Pada tahun 1957,  sekolah  ini  dikenali dengan nama  Sultan Badlishah Primary School. Ini kerana   sekolah ini menumpang di bangunan Sekolah Menengah Sultan  Badlishah ketika itu, sebelum dibina bangunan baru yang berasingan.

  Bangunan sekolah ini telah dirasmikan oleh Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Malik, Tunku Bendahara Kedah pada hari Jumaat, 8 Jun 1962. Nama sekolah ini mengambil sempena nama YTM Tunku   Pada tahun 1962, sekolah ini mempunyai empat blok bangunan satu tingkat, iaitu Bangunan JKR No. 810 untuk bilik darjah, Bangunan JKR No.811 untuk bilik darjah dan stor, Bangunan JKR No. 813 untuk    tandas dan Bangunan JKR No.812 untuk letak basikal.

Senarai Nama Guru Besar
Sekolah Kebangsaan Tunku Abdul Malik

1. En. Govondaraj (1962-1969)
2. En. S.P Chiniah (1970-12.03.1981)
3. En. K.Tanggarajah (13.03.1981 - 22.03.1992)
4. Pn. Hjh Rokiah Bt Hj Zakaria (16.05.1992 - 01.03.1992)
5. En. Abu Bakar@Juwita B Shafie (16.11.1992 - 01.03.1997)
6. En. Padli B Hj Mukhti Pck (01.03.1997 - 2001)
7. En. Abdul Wahab B Ahmad Ppn (31.03.2001 - 2003)
8. En. Azizan B Md Saad (16.11.2003 - 28.02.2010)
9. Pn. Yuhanis Bt Abdul Ghani (01.03.2010 - 30 Julai 2012)
10. Pn. Ruzaidah Bt Majid 
(26.08.2013 - Kini) 

Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah


Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah(SMKSB) ialah sebuah sekolah menengah kluster kecemerlangan yang terdapat dalam daerah Kulim/Bandar Baharu, Kedah.

Sekolah Menengah Sultan Badlishah diasaskan pada 8 Januari 1948 di bangunan Kedah Volunteer Force Drill, Kulim dan dikenali pada mulanya sebagai Government English School untuk menampung pelajar-pelajar kelas "Special Malay" dari daerah-daerah Sik, Kulim dan Bandar Baharu. Tidak lama selepas ditubuhkan sekolah ini telah dikategorikan sebagai Sekolah Perdana (Premier School).

Kemasukan pertama 80 orang pelajar terdiri daripada 2 kelas primary satu (20 x 2 orang) dan 1 kelas "Special Malay" (40 orang). Pengetua pertamanya ialah Tuan Haji Samsudin b. Mohd. Yusof.

Dalam tahun 1953 sekolah ini sekali lagi menempa sejarahnya apabila namanya bertukar kepada Badlishah School sempena lawatan pertama Sultan Kedah Sultan Badlishah ibni Sultan Abdul Hamid pada Hari Ucapan dan Penyampaian Hadiah dan ditambah menjadi Sultan Badlishah School pada tahun 1959. Mulai tahun 1959 juga pelajar perempuan mula diterima masuk sebagai pelajar.

Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Badlishah merupakan sebuah sekolah menengah asrama harian yang mula menampakkan prestasi akademik yang membanggakan di antara tahun 1970 hingga 1980. Apabila sekolah ini semakin berkembang dan semakin dikenali, Jabatan Pendidikan Kedah telah membuat keputusan menjadikannya sebagai Sekolah Kawalan (Control School) di Negeri Kedah. Dengan perkembangan ini prestasi akademik sekolah semakin meningkat dan bermutu. Pencapaian SRP/PMR mencecah 100% selama tiga belas tahun berturut-turut (1987-1999).

Seterusnya antara tahun 1991 hingga kini prestasi akademik pelajar-pelajar SMKSB dalam peperiksaan SPM/STPM berada di tahap "top 3" dan "top 5" di dalam negeri Kedah dari segi kuantiti dan kualiti. Pencapaian SMKSB terus cemerlang apabila dua kali dalam sejarah SMKSB keputusan peperiksaan SPMnya mencecah 100 % iaitu pada tahun 1996 dan 1999, menjadikannya setanding dengan mana-mana sekolah berasrama penuh di Malaysia. Dalam keputusan PMR 1998, SMKSB telah mencipta sejarah sebagai sekolah harian terbaik di Malaysia. Ini adalah merupakan satu kejayaan yang melengkapkan sambutan Jubli Emas pada tahun berkenaan. Mulai tahun 1998 juga, SMKSB menjadi sekolah sains harian dengan pengambilan pertama semua tingkatan empat aliran sains.

SMKSB adalah sekolah bestari dalam kategori B. Justeru itu pelbagai usaha gigih pengurusan sekolah disertai komitmen semua pihak termasuk stake holders dapat dilihat ke arah menjayakan amanah yang dipertanggungjawabkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia tersebut.


Latar Belakang Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB)

Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB), yang dahulunya dikenali sebagai Politeknik Kulim, merupakan politeknik yang ke 16 dibawah Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia. Di negeri Kedah, Politeknik Tuanku Sultanah Bahiyah (PTSB) merupakan politeknik yang kedua iaitu selepas Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah di Jitra.

PTSB mula beroperasi pada 1 Mac 2002 di kampus sementara di Politeknik Seberang Perai, Pulau Pinang dan berpindah ke kampus tetapnya seluas 100 ekar di Taman Teknologi Tinggi Kulim pada 3 Mac 2003. Pada tanggal 9 Jun 2003, PTSB mula mengambil pelajar kohort pertamanya seramai 507 pelajar. Kini jumlah pelajarnya adalah melebihi 4,500 orang.Setelah beroperasi selama 5 tahun, pada tanggal 27 Mac 2007, PTSB dimasyhurkan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Al Sultan AlMu’tasimu Billahi Muhibbuddin Tuanku AlHaj Abdul Halim Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Badlishah, Sultan Negeri Kedah Darul Aman.

PTSB diterajui oleh seorang Pengarah dan dibantu oleh dua (2) orang Timbalan Pengarah berserta enam (6) orang Ketua Jabatan. Berbekalkan semangat dan komitmen tinggi daripada barisan hadapan dan semua staf, PTSB sentiasa berusaha untuk menjadi salah sebuah  politeknik terbaik di Malaysia.

Di PTSB, pelajar boleh memilih untuk mengikuti program-program pengajian di peringkat diploma atau sijil yang ditawarkan oleh empat (4) jabatan akademik iaitu Jabatan Kejuruteraan Awam, Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Jabatan Perdagangan. Disamping itu PTSB turut menawarkan Program Pembelajaran Sepanjang Hayat melalui Kursus Secara Sambilan yang dikendalikan di setiap hujung minggu.

Adalah diharap dengan berbekalkan segala kekuatan yang ada dari segi tenaga kerja, kemudahan dan sokongan semua pihak serta kedudukannya yang strategik di Taman Teknologi Tinggi Kulim, maka visi untuk menjadi pusat kecemerlangan pendidikan dalam bidang kejuruteraan dan perdagangan serta azam untuk melahirkan graduan yang berketrampilan, berakhlak mulia dan bertanggungjawab akan berjaya dicapai.

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.