USAHAWAN Q2 2022 - EN AIDYAMIN BIN SUKAIMI

15 June 2022 | Berita Terkini

Didorong oleh minatnya yang mendalam serta mahir dalam bidang mekanik, Encik Aidyamin Bin Sukaimi menyimpan impian untuk membina sebuah bengkel, di mana dapat membantu penduduk kampung membaiki kerosakan jentera atau mesin mereka. Sehubungan dengan itu, beliau bersama isteri, Suzaila Binti Husin yang merupakan anak peneroka Felda Sungai Kelamah telah bersama-sama mengusahakan Amin Ila Garage yang terletak di kediaman milik ibu beralamat di No. 166 Felda Sungai Kelamah. Kerosakan motor, basikal dan mesin rumput merupakan antara jenis jentera dan mesin yang pernah dibaiki oleh beliau.

                Seiring dengan tujuan utama perniagaan bengkel ini, usahawan yang berusia 30 tahun ini turut menyediakan perkhidmatan pengangkutan dengan menggunakan kenderaan Hilux yang dimilikinya. Menurutnya lagi, perkhidmatan pengangkutan yang pernah dilakukan ialah menghantar barang seperti peti ais, meja, motor dan lain-lain. Dalam erti kata lain, beliau akan menerima perkhidmatan pengangkutan bagi barangan yang dapat memenuhi saiz kenderaannya. Kadar bayaran untuk satu perkhidmatan pula adalah mengikut jarak perjalanan sesuatu tempat tersebut.

                Bapa kepada dua cahaya mata ini juga amat meminati dunia permotoran. Tambahan pula, beliau pernah menyertai sukan permotoran serta memenangi pelbagai anugerah. Hal ini juga antara faktor yang mendorong beliau untuk meneruskan perniagaan bengkel ini yang telah beroperasi sejak 5 tahun yang lepas. Bahkan, perniagaan ini juga memberikan pendapatan sebanyak RM 1200 sebulan kepadanya dan keluarga. Justeru, dirinya amat bersyukur kerana perniagaan yang diusahakannya kini bukan sahaja mendapat sokongan penuh daripada keluarga tercinta malahan mendapat sambutan daripada masyarakat setempat. Beliau juga berharap perniagaannya ini mampu untuk lebih maju lagi pada masa akan datang. Akhir kata, sekiranya ingin mendapat perkhidmatan daripada beliau, boleh hubungi di talian 017-7400540.