USAHAWAN Q2 2022 - EIZAN WEDDING PLANNER

18 June 2022 | Berita Terkini

En. Norizan Bin Md Noh merupakan seorang individu yang kini mencecah usia 46 tahun dan dilihat sebagai seorang yang berjiwa muda terutama dalam menguruskan perniagaannya. Hal ini dapat dipastikan apabila beliau merupakan pengasas dan pemilik kepada perniagaan perunding perkahwinan Eizan Wedding Planner dan juga kedai makan Babut Kitchen in the House yang terletak di kediaman milik keluarganya beralamat No. 291 Felda Sungai Kelamah. Eizan Wedding Planner ini telah ditubuhkan sejak 5 tahun yang lepas manakala Babut Kitchen in the House mula beroperasi pada tahun 2021.

                Beliau turut memaklumkan Eizan Wedding Planner ini menyediakan perkhidmatan pakej perkahwinan seperti pelamin persandingan, hiasan bilik pengantin, solekan, baju pengantin lelaki dan perempuan, menu makan beradab dan hiasan meja tetamu. Manakala, perniagaan Babut Kitchen in the House pula menyediakan menu ala carte terdiri daripada Nasi Goreng Kampung, Nagi Goreng Ayam, Tom Yam Campur dan lain-lain. Malahan, makanan ringan seperti burger dan kentang goreng juga turut dijual. Beliau turut memaklumkan idea untuk menubuhkan kedua-dua perniagaan tersebut adalah datang dari dirinya sendiri kerana minat dalam hiasan serta berbakat dalam menghias kedai sendiri. Maka dengan itu, terhasillah kedua-dua perniagaan yang diusahakannya kini.

                Menurutnya lagi, perniagaan yang diusahakannya kini mampu memberi pendapatan sebanyak RM 15,000 dalam sebulan untuk beliau dan keluarga. Malahan, beliau mampu menggajikan 3 orang pekerja di kalangan anak penduduk kampung bagi membantu memudahkan urusan perniagaannya. Meskipun terkesan dengan PKP akibat Covid-19 yang memakan masa bertahun, namun beliau tetap bersyukur perniagaannya masih berjalan dengan baik dan mendapat sokongan serta sambutan daripada masyarakat setempat. Orang ramai yang ingin membuat tempahan sama ada berkaitan perunding perkahwinan mahupun tempahan makanan boleh menghubungi di talian 012-7137904