Q4 - Profile Usahawan (Puan Sainah Binti Jaimil)

28 December 2016 | Kisah Kejayaan

Puan Sainah Binti Jaimil merupakan seorang surirumah sepenuh masa yang berumur 53 tahun dan giat menjalankan aktiviti menjaja makanan ringan. Sebagai seorang suri rumah sudah semestinya mempunyai tanggungjawab yang tinggi terutama sekali dalam hal menguruskan hal rumah tangga. Taraf hidup yang semakin meningkat pada masa kini telah mendorong beliau untuk memulakan perniagaan ini bagi membantu suaminya menampung kehidupan seharian. Sokongan daripada suami dan ahli keluarga merupakan antara suntikan semangat beliau bagi meneruskan perniagaan ini.

Selain daripada itu, beliau juga merupakan salah seoarang daripada ahli Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kampung Sogo-Sogo. Ini sedikit sebanyak dapat membantu dalam perniagaan beliau kerana melalui persatuan ini ahli persatuan dapat berkongsi pendapat dan cadangan khusus dalam memajukan perniagaan. Pada musim persekolahan, beliau akan menjual makanan seperti kuih miuh, mee goreng dan minuman di kawasan Sekolah Rendah Kebangsaan Sogo-Sogo dan juga akan menjaja sekiranya ada program atau aktiviti yang dianjurkan di sekitar Kampung Sogo-Sogo. Meskipun wujud persaingan antara penjaja-penjaja kecil yang lain, namun ini tidak melemahkan semangat beliau sebaliknya mendorong beliau untuk mencari alternatif yang baru bagi mempelbagaikan lagi jualannya. Harapan terbesar beliau dalam perniagaan yang dijalankan ini adalah agar melalui perniagaan kecil-kecilan ini dapat meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga.