Maklumat Tempatan

MAKLUMAT KOMUNITI KAMPUNG SOGO-SOGO, TONGOD

 

Kredit : En. Henly Jumali Ramidin (Pengerusi JKKK, Kg. Sogo-sogo, Tongod)

 

Sejarah Penempatan Kg.Sogo-Sogo

Menurut sejarah penempatan Kampung Sogo-sogo sudah diduduki seawal tahun 1930-an oleh penduduk dari kampung yang berdekatan iaitu dari Kampung Langkabong dan Kampung Malagatan Besar, sehinggalah pada tahun 1960-an penduduk Kampung Sogo-sogo masing-masing berpindah semula ke Kampung Langkabong dan Kampung Malagatan Besar untuk mencari sumber makanan dan peluang-peluang pekerjaan.

Daripada aktiviti pembalakan, jalan raya telah dibina untuk menghubungkan Tongod dan Telupid. Ekoran daripada itu, Kampung Sogo-sogo adalah salah satu kampung yang menjadi laluan jalan tersebut. Menjelang tahun 1970, penduduk asal Kampung Sogo-sogo yang berpindah ke Kampung Langkabong dan Kampung Malagatan Besar telah kembali berpindah ke Kampung Sogo-sogo. Ini adalah kerana perhubungan jalan raya yang baik dapat memudahkan perjalanan penduduk kampung ke Tongod ataupun ke Telupid. Berbanding dengan pengangkutan yang dahulunya hanya menggunakan perahu melalui sungai dan memakan masa yang lama. Ini merumitkan penduduk kampung untuk mendapat rawatan perubatan ke Telupid atau ke Tongod. Akhirnya, bilangan penduduk Kampung Sogo-sogo semakin ramai. Selepas tertubuhnya sekolah pada tahun 1980 di Kampung sogo-sogo telah memberi impak yang besar kepada sejarah penempatan penduduk  Kampung Sogo-sogo.

Sejarah Asal Usul Kg.Sogo-Sogo

Kampung Sogo-sogo juga mempunyai sejarah tersendiri. Menurut penduduk awal Kampung Sogo-sogo, dahulunya Kampung Sogo-sogo dipanggil "didiran" (dalam bahasa tempatan) yang bermaksud “di sepanjang jalan”. Yang mana kawasan-kawasan penempatan penduduk Kampung Sogo-sogo terletak di sepanjang jalan utama. Selain itu, nama Kampung Sogo-sogo juga diambil sempena nama Sungai Sogo-sogo yang berhampiran kerana Sungai Sogo-sogo adalah tempat sumber air dan sumber pencarian makanan penduduk Kampung Sogo-sogo.

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.