Kemudahan Awam

KEMUDAHAN

Antara kemudahan yang disediakan di kawasan Tandek ialah :


Klinik Kesihatan Tandek

Penduduk Kampung Tandek Laut memperoleh perkhidmatan kesihatan di Klinik Kesihatan Tandek, kira-kira 1.3 kilometer dari kampung tersebut. Klinik Kesihatan Tandek telah mula beroperasi pada 22 Julai 2002 bagi menggantikan Klinik Kesihatan lama yang terletak berdekatan dengan SK Tandek. Menurut sejarah kesihatan di Pekan Tandek ini, penjagaan kesihatan melalui penubuhan klinik telah bermula di pekan ini sejak zaman penjajahan British lagi, iaitu sekitar tahun 1936. Setelah mencapai kemerdekaan, Kerajaan Malaysia telah mengambil alih pengurusan klinik dengan mengubahsuai bangunan klinik tersebut mengikut peredaran zaman.

Antara perkhidmatan kesihatan yang disediakan di Klinik Kesihatan Tandek ialah penjagaan kesihatan primer yang meliputi rawatan pesakit luar, farmasi, makmal dan kawalan penyakit bawaan vektor. Selain itu, perkhidmatan lain yang disediakan ialah penjagaan kesihatan ibu dan anak serta klinik pergigian. Aktiviti-aktiviti yang dianjurkan di klinik ini meliputi promosi kesihatan yang bertujuan untuk menimbulkan kesedaran tentang penjagaan kesihatan di kalangan masyarakat setempat, pemeriksaan darah, penyiasatan kes malaria, semburan Icon untuk kawalan malaria dan sebagainya. Klinik ini beroperasi dari pukul 8.00 pagi hingga 5.00 petang pada setiap hari Isnin hingga Jumaat untuk setiap minggu. Bagi kes-kes yang memerlukan rawatan susulan, pesakit-pesakit akan dihantar ke Hospital Kota Marudu, kira-kira 16 kilometer dari klinik kesihatan tersebut


Pejabat Pos Bergerak

Bagi memudahkan urusan penduduk Tandek, Pejabat Pos Kota Marudu telah menyediakan perkhidmatan pejabat pos bergerak yang beroperasi di Pekan Tandek pada hari Jumaat sahaja. Selain memudahkan penduduk, pejabat pos bergerak ini juga dapat mengurangkan kesesakan yang berlaku di Pejabat Pos Kota Marudu.


Padang Bola (Padang Daerah)

Pekan Tandek turut disediakan kemudahan padang bola sepak bagi tujuan rekreasi dan sukan. Padang ini biasanya akan digunakan bagi pertandingan bola sepak, acara perayaan tahunan (Talob Tagayo), selain digunakan setiap petang oleh penduduk sekitar.


Masjid Al-Hidayah

Bagi penduduk yang beragama islam, sebuah masjid telah dibina dan diberi nama Masjid Al-Hidayah Pekan Tandek. Masjid ini telah dibina pada tahun 1993 bagi menggantikan surau Tandek yang dahulunya terletak berdekatan SK Tandek.


Gereja

Bagi penganut agama Kristian pula, terdapat berberapa gereja yang telah dibina di sekitar Tandek, antara gereja yang dibina ialah Gereja SDA Tandek dan Gereja SIB Tandek.


Dewan Kementerian Belia Dan Sukan (KBS)

Dewan KBS telah dibina berhampiran Klinik Kesihatan Tandek pada tahun 2011. Dewan ini dibina untuk tujuan kegiatan sukan dan rekreasi selain digunakan oleh penduduk untuk acara berkaitan. Dewan ini menempatkan sebuah gelanggang badminton. 


Hospital Lotong

Hospital Lotong terletak 15km dari Pusat Internet 1Malaysia Tandek. Hospital ini mempunyai kemudahan Wad Kanak-Kanak, Wad Lelaki dan Wad Perempuan. Hospital ini turut dilengkapi bilik bedah. Bagi penduduk sekitar Kota Marudu, semua kes berkaitan kesihatan akan dirujuk ke hospital ini.


© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.