Pelancongan & Rekreasi

DAYA TARIKAN TANDEK 

Pelancongan

Taman Kinabalu Sub-Stesen Serinsim

Serinsim adalah sebuah kampung yang terletak di daerah Kota Marudu. Sub Stesen Serinsim pula terletak di kampung ini. Sub Stesen ini terletak di paras ketinggian 192 meter di atas paras laut Taman Kinabalu. Sub Stesen Serinsim 38km daripada Kota Marudu terletak di antara dua sungai iaitu Sungai Serinsim dan Sungai Kinarom. Vegetasi hutan terdiri daripada hutan sekunder tanah rendah kerana bekas terbakar akibat kemarau yang melanda negeri Sabah pada tahun 1997. Sebahagian kawasan Sub Stesen Serinsim pernah dibuka untuk tujuan pertanian oleh penduduk kampung Serinsim sebelum diwartakan sebagai kawasan Taman-Taman Sabah pada tahun 1992.

Taman-Taman Sabah telah menyediakan asrama dan tapak perkhemahan untuk kemudahan pelancong yang ingin menikmati keunikan semulajadi dan mengetahui sejarah Serinsim. Kebun Rusa serinsim telah diwujudkan sebagai satu strategi konservasi dengan pendekatan ex-situ, merupakan tambahan kepada tarikan semulajadi Sub Stesen Serinsim selain tarikan utamanya seperti Gunung Nombuyukong setinggi 1,475 meter, Gua Kelawar, Air Terjun Misumpak, Makam Si-Gunting dan dua batang sungai (Sg.Serinsim dan Sg.Kinarom) yang sangat menarik kerana sesuai untuk beriadah dan bermandi manda.

Kemudahan lain yang baru diwujudkan untuk menampung keperluan pelancong yang semakin bertambah adalah beberapa buah Chalet dan Restoran. Dengan adanya kemudahan seperti ini akan memudahkan pelancong untuk bermalam bagi menikmati keunikan semulajadi di Sub Stesen Serinsim. Selamat meninjau gambar-gambar suasana di Sub Stesen Serinsim.

 

Air Terjun Kinamawali

Air terjun Kinamawali terletak berhampiran Kg. Salimandut, Kg. Nolotan dan Kg. Batition, Kota Marudu, Sabah, Malaysia. Perjalanannya agak memenatkan, meredah hutan belantara, meranduk sungai, berjalan di atas bongkah batuan yang besar dan licin. Mengikut kepercayaan orang-orang kampung tempatan, kawasan air terjun ini adalah kawasan yang keras. Oleh itu, jaga kelakuan anda semasa berada disana.

 

Tasik Buyut

Tasik Buyut terletak dalam daerah Kota Marudu di utara negeri Sabah dan kini merupakan sebuah Pusat Penternakan Ikan Air Tawar dan di bawah seliaan Jabatan Perikanan Sabah, cawangan Kota Marudu. Kewujudannya seakan dilupakan dan hanya berdiri sebagai sebuah tasik untuk tujuan penyelidikan dan penternakan semata-mata.

Kewujudan Tasik Buyut dikaitkan dengan sikap segelintir manusia yang alpa dengan keseronokan dan kemewahan dunia lantas melaksanakan sesuatu perkara secara melampaui batas sehingga menyimpang dari landasan yang sepatutnya dilalui. Akhirnya ketelanjuran tersebut mengundang kutukan dari maha pencipta dengan menurunkan bala untuk menghapuskan manusia yang melampaui batas itu sambil memberi pengajaran kepada yang lain.

 

Paya Bakau Petogor

Kawasan paya bakau Petogor merupakan kawasan yang kaya dengan hasil laut, serta flora dan fauna. Kawasan ini juga menjadi habitat bagi buaya. Bagi mereka yang ingin mengambil pengalaman memancing, sungai Petogor merupakan tempat yang  sesuai kerana belum diganggu oleh proses pembangunan selain hasil yang tidak mengecewakan. Pada waktu malam juga, kelip-kelip (firefly) masih lagi banyak kelihatan di kawasan ini. Melalui Sungai Petogor, anda sudah berada di Laut Sulu. 

 

2.2 Perayaan/Pesta

Talob Tagayo/ Tamu Besar Pekan Tandek

Pekan Tandek merupakan pekan kecil yang terletak di perantaraan Kota Marudu dan Pitas. Talob Tagayo merupakan majlis Tamu Besar yang dianjurkan setiap tahun oleh Kementerian Pembangunan Infrastruktur Negeri Sabah sejak tahun 2013. Usaha anjuran ini diadakan adalah untuk memperkenalkan pekan tandek kepada orang luar. Talob Tagayo juga menonjolkan keunikan pelbagai kesenian, tradisi dan warisan masyarakat Tandek sekali gus memberi gambaran tentang kekuatan dan keazaman masyarakat setempat mempertahankannya. 

Anjuran Tamu Besar ini turut menarik minat pelancong. Pelancong yang datang daripada Kota Kinabalu, Tuaran, Kota Belud, Pitas dan lain-lain. Disamping itu juga peniaga-peniaga seperti peniaga kosmetik, kraftangan, pakaian, makanan dan sebagainya. 

 

Pertandingan Kicauan Burung

Pertandingan kicauan burung murai batu mula dianjurkan pada tahun 2013. Pertandingan yang pertama telah dilakukan bersama-sama Talob Tagayo Tandek. Namun pada tahun berikutnya, pihak penganjur mengambil keputusan untuk mengasingkan acara ini kerana tempat yang terhad disamping bunyi bising yang menyukarkan proses pengadilan. Bagi tahun 2015, pertandingan telahpun dijalankan pada bulan September yang lalu.


2.3 Restoran

2.3.1 Restoran Kupang,Tanjung Batu

Restoran Kupang terletak kira-kira 5km dari Pusat Internet 1Malaysia Tandek, selain menyediakan hidangan laut, restoran ini turut menyediakan ruang mesyuarat yang boleh memuatkan kira-kira 25-30 orang. Restoran ini mudah dilihat kerana berada di tepi jalan. Melalui restoran ini juga, pengunjung boleh melihat matahari terbenam samibl menikmati hidangan. Bersebelahan restoran ini turut dibina sebuah motel kepada pengunjung yang ingin bermalam.

2.3.2 Alamila Café

Alamila Café terletak kira-kira 2km dari Pusat Internet 1Malaysia Tandek. Walaupun restoran ini mempunyai ruang kecil, namun keistimewaan utama restoran ini ialah menyediakan hidangan “western food” kepada pengunjungnya. Selain itu, restoran ini begitu terkenal dengan roti canai yang nipis dan lembut. Buat masa ini, Alamila Café ditutup buat sementara kerana sedang melakukan pengubahsuaian.

© 2014 Semua Hakcipta Terpelihara.